KUALA LUMPUR: Pelari 400 meter (m) negara, Muhammad Sayyid Amin Roslan menyasarkan catatan masa konsisten sekitar 47 hingga 48 saat (s) pada Kejohanan Olahraga Asia Tenggara B-18 dan B-20 2026 di Thailand sebagai persediaan awal menghadapi Sukan SEA di Malaysia tahun depan.

Menurut Sayyid Amin, kejohanan itu menjadi medan penting untuk mengukur tahap prestasinya selepas kembali menjalani latihan secara berperingkat susulan kecederaan dialami ketika menyertai pertandingan di Oman.

Katanya, ketika ini dirinya masih dalam proses mencari rentak terbaik bagi memastikan prestasi kembali berada pada tahap diharapkan menjelang pertandingan berkenaan sekali gus cuba mengintai kedudukan terbaik.

"Untuk kejohanan di Thailand, saya mahu mendapatkan catatan masa yang konsisten sebagai penanda aras bagi menghadapi Sukan SEA tahun depan. Saya mengharapkan dapat mengekalkan catatan sekitar 47 atau 48s, bergantung kepada keadaan ketika pertandingan nanti," katanya.