KOTA BHARU: Kerajaan negeri digesa memberi kepercayaan dan keutamaan kepada Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dalam menerajui penyediaan Pelan Pembangunan Negeri Kelantan 2025-2055 bagi memastikan perancangan masa depan negeri dapat dilaksanakan secara terancang, inklusif dan mampan.

Demikian titah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang dibacakan Pro Canselor UMK, Tengku Muhammad Fakhry Petra Ibni Almarhum Sultan Ismail Petra pada Majlis Istiadat konvokesyen UMK ke-16, petang tadi.

Sultan Muhammad yang juga Canselor UMK bertitah, kerajaan negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) turut menggesa kerjasama strategik bersama kerajaan Pusat, serta pemain industri perlu diperkukuhkan dengan UMK dalam aspek pembangunan luar bandar dan wilayah.