Kali ini, Cik Bunga bukan hendak sentuh mengenai isu sama ada benar atau tidak Dayang Nurfaizah sudah berkahwin dengan Hael Husaini atau tidak. Rasanya, bab itu, ramai yang sudah mula memperkatakan dan buka-buka cerita. Berbalik kepada pasangan itu saja sama ada mahu mengaku atau tidak. Betul tak?
Perkara yang Cik Bunga mahu sentuh kali ini adalah berkaitan dengan vokal Dayang.
Dengarnya, ada yang berasakan Dayang kini tidak lagi semantap dahulu ketika membawakan lagu-lagunya, khususnya apabila tiba bahagian yang memerlukan lontaran suara tinggi.
Eh, jangan salah faham pula! Cik Bunga bukan hendak mengatakan suara Dayang sudah tidak sedap didengar. Pada pendengaran Cik Bunga, masih merdu dan menyenangkan telinga. Cuma, mungkin ada yang merasakan keupayaan vokalnya tidak lagi seperti dahulu, terutama ketika perlu mencapai nota-nota tinggi yang menjadi antara keistimewaan penyanyi itu.









