BATU PAHAT - Suami isteri maut manakala dua anak mereka terselamat selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza dinaiki keluarga itu dihempap sebuah lori muatan tar dalam kemalangan di Jalan Yong Peng-Muar, berhampiran Kampung Sri Wangi, Parit Yaani, di sini, tengah hari Ahad.Dalam kejadian dipercayai kira-kira jam 12.15 tengah hari itu, mangsa, Mohd Hardi Mohd Husin, 46, dan isterinya, Tengku Syafirana Tengku Abdullah, 44, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.Dua anak pasangan berkenaan masing-masing lelaki berusia lapan tahun dan perempuan berusia 11 tahun mengalami kecederaan ringan sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat untuk mendapatkan rawatan.Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yong Peng, Mohamad Alif Halim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.24 tengah hari sebelum enam anggota digerakkan ke lokasi kejadian.Menurutnya, sebaik tiba, pasukan keluaran operasi (PKO) mendapati kemalangan membabitkan sebuah lori jenis Hino 10 tan dan sebuah Perodua Alza."Perodua Alza membawa empat orang mangsa iaitu pemandu lelaki berusia 46 tahun dan penumpang wanita berusia 44 tahun."Kedua-dua mereka didapati tersepit manakala dua kanak-kanak mengalami kecederaan ringan. Pemandu lori berusia 30 tahun turut mengalami kecederaan," katanya.Beliau berkata, pasukan bomba menjalankan operasi menyelamat bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas.Mangsa yang cedera diberikan rawatan awal sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan untuk tindakan lanjut, manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis.Operasi menyelamat yang membabitkan enam anggota bersama sebuah jentera FRT itu tamat pada jam 2.12 petang.Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.