MELAKA: Kempen Pilihan Raya Melaka ke-16 lebih tenang berbanding pilihan raya sebelum ini kerana Barisan Nasional (BN) sudah memulakan usaha mendekati rakyat lebih awal.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata petugas parti itu tidak menunggu tempoh berkempen selama 14 hari untuk membantu orang ramai.

"Kita sudah melakukan kerja lebih awal supaya rakyat tidak hanya diberikan perhatian ketika pilihan raya, khususnya sepanjang tempoh 14 hari berkempen.

"Kita mesti menjadikan jawatan sebagai wakil rakyat sebagai amanah untuk berkhidmat kepada rakyat, bukannya rakyat berkhidmat untuk kita," katanya ketika melawat Bilik Gerakan BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas, di sini, hari ini.