KUALA LUMPUR: Penguasaan kecerdasan buatan (AI) yang semakin meluas berisiko melebarkan jurang pendapatan apabila golongan yang mahir memanfaatkan teknologi itu berupaya meningkatkan produktiviti dan pendapatan, manakala mereka yang ketinggalan berdepan pertumbuhan gaji lebih perlahan serta kehilangan pekerjaan akibat automasi.

Felo Bersekutu Kanan Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan (ECOFI), Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin, berkata perkembangan itu membimbangkan kerana pertumbuhan ekonomi tidak semestinya disusuli peningkatan peluang pekerjaan atau pengurangan kadar pengangguran.

Beliau berkata, jika tidak ditangani lebih awal, perkembangan teknologi AI boleh mewujudkan ketidakseimbangan baharu dalam pasaran buruh apabila manfaat peningkatan produktiviti lebih banyak dinikmati golongan yang mempunyai kemahiran dan keupayaan menguasai teknologi berkenaan.