KULAI: Seorang wanita bersama ibunya meninggal dunia selepas kereta jenis Mazda yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta Toyota Vios di Jalan Senai – Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, mangsa yang maut ialah pemandu Mazda, Dr. Fatimatuzahrah Md Amin, 30, serta ibunya, Rosmani yang berusia 69 tahun.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, pihaknya menerima makluman berhubung kejadian itu daripada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai.

Beliau berkata, kemalangan melibatkan dua buah kenderaan iaitu kereta Mazda berkenaan dan sebuah Toyota Vios yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan berumur 30 tahun.