Puchong: Hujan lebat berterusan dijangka melanda Kelantan dan Terengganu pada November, sebelum membabitkan Pahang dan Johor pada Disember serta Sarawak pada Januari, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Pengarah Kanan Pusat Operasi Cuaca dan Gempa Bumi Nasional MetMalaysia, Maqrun Fadzli Mohd Fahmi berkata, antara tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan dijangka berlaku sepanjang fasa awal Monsun Timur Laut (MTL) dari November hingga Januari.

Beliau berkata, risiko banjir besar boleh meningkat sekiranya hujan lebat berterusan berlaku serentak dengan fenomena air pasang besar.

"Amaran hujan berterusan, angin kencang dan laut bergelora akan dikeluarkan sehingga tiga hari lebih awal," katanya ketika membentangkan unjuran cuaca MetMalaysia pada sesi libat urus media berhubung persediaan kerajaan menghadapi musim monsun di Ibu Pejabat Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), di sini.