PUCHONG: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan berlaku sepanjang fasa awal Monsun Timur Laut (MTL) antara November ini hingga Januari depan.

Pengarah Kanan Pusat Operasi Cuaca dan Gempa Bumi Nasional MetMalaysia, Maqrun Fadzli Mohd Fahmi, berkata berdasarkan jangkaan, hujan lebat berterusan akan melanda Kelantan dan Terengganu bulan depan, disusuli Pahang dan Johor pada Disember serta Sarawak pada Januari.

Beliau berkata, risiko banjir besar boleh meningkat sekiranya hujan lebat berterusan serentak dengan fenomena air pasang besar.

"Amaran hujan berterusan, angin kencang dan laut bergelora akan dikeluarkan sehingga tiga hari lebih awal," katanya ketika membentangkan unjuran cuaca MetMalaysia pada sesi libat urus media berhubung persediaan kerajaan menghadapi musim monsun di Ibu Pejabat Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), di sini.