KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru rakyat supaya sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan susulan jangkaan bermulanya Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027 hari ini.

Beliau berkata, musim monsun yang dijangka berterusan hingga Mac 2027 itu berpotensi membawa hujan lebat berterusan, banjir serta keadaan laut bergelora yang boleh mengancam keselamatan penduduk, khususnya di kawasan berisiko.

“Berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan dijangka berlaku antara November 2026 hingga Januari 2027.

“Keadaan ini boleh meningkatkan risiko banjir, khususnya di kawasan berhampiran sungai dan kawasan rendah,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.