Nibong Tebal: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman akan terus memperkukuh kerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam usaha membanteras kegiatan 'mat rempit' dan meningkatkan penguatkuasaan terhadap kesalahan lalu lintas di seluruh negara.

Pengarah JSPT Bukit Aman Datuk Seri Hasbullah Ali berkata, operasi terhadap mat rempit atau samseng jalanan dilaksanakan secara berkala dan tidak pernah dihentikan, malah kerjasama antara kedua-dua agensi itu sentiasa diteruskan.

Menurutnya, JSPT dan JPJ turut mengadakan mesyuarat secara berkala selain mempunyai persefahaman bersama bagi menyelaras operasi penguatkuasaan.

"Untuk makluman, kita sentiasa buat operasi. Kita juga sentiasa ada kerjasama dengan JPJ, malah kita ada mesyuarat berkala dengan pihak JPJ dan ada persefahaman bersama untuk kita laksanakan operasi," katanya.