Sepang: Keutamaan mengumpul mata bagi mengesahkan tiket ke Jelajah Dunia Akhir menyaksikan beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, tetap meneruskan perjuangan meskipun dibelenggu isu kecederaan.

Gandingan nombor empat dunia itu tidak bercadang menarik diri daripada tiga kejohanan akan datang, sebaliknya mahu beraksi habis-habisan bagi mengukuhkan kedudukan dalam kelompok lapan terbaik ranking Jelajah Dunia.

Aaron berkata, keadaan pasangannya yang mengalami kecederaan pada bahagian tumit kanan ketika pusingan pertama Terbuka Perancis minggu lalu tidak terlalu serius, namun masih memerlukan masa untuk pulih sepenuhnya.

"Keadaan saya semuanya baik dan pasangan saya pun okey. Dia juga sedang dalam proses pemulihan, tetapi kami akan ke Korea, Jepun dan Hong Kong untuk kejohanan akan datang," katanya ketika ditemui sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.