Kuala Lumpur: Hilang kesabaran ketika menyerang selain keletihan selepas mengharungi dua minggu kejohanan yang panjang menjadi antara faktor beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah, gagal mempertahankan cabaran pada Terbuka Perancis.
Pasangan nombor empat dunia itu tewas kepada gandingan Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto, yang bangkit untuk menang 10-21, 21-17, 21-16 dalam tempoh 63 minit di Arena Grand Paris, Ahad lalu.
Kemenangan itu membolehkan pasangan nombor tiga dunia berkenaan mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada edisi terdahulu.
Jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak, berkata tahap kecergasan anak buahnya sudah banyak digunakan sepanjang kejohanan minggu lalu, sekali gus menjadikan cabaran di Paris lebih sukar, terutama ketika mereka masih berdepan masalah kecederaan.









