KUALA LUMPUR: Beregu utama wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah mengakui perubahan taktikal yang dilakukan pasangan Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto pada set kedua menjadi faktor mereka tumpas kepada pilihan pertama itu pada final Terbuka Perancis, semalam.

Menurut Thinaah, aksi pada set kedua pada awalnya berlangsung sengit, namun selepas terikat 7-7, Fukushima-Matsumoto mengubah corak permainan dengan lebih banyak melakukan serangan.

"Strategi itu membolehkan mereka mendahului kami dengan jurang mata yang agak selesa. Di penghujung set, kami cuba mengejar, tetapi saya rasa jurang mata pada awal permainan sudah terlalu jauh. Saya fikir kelebihan itu juga meningkatkan keyakinan mereka," katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).