BANTING: Lembaga Tabung Haji (TH) terus memperkukuh ukhuwah bersama alumni haji menerusi penglibatan mereka sebagai sukarelawan dalam Program Kelestarian TH 2026, sekali gus membuka ruang kepada bekas jemaah untuk terus menyumbang kepada masyarakat dan alam sekitar.

Memasuki tahun kedua penganjurannya, program kelestarian ini buat julung kalinya menghimpunkan hampir 100 alumni haji bersama kira-kira 120 peserta lain, menjadikan keseluruhan penyertaan sekitar 220 orang.

Inisiatif ini bukan sahaja menyokong usaha kelestarian alam sekitar dan komuniti, malah menjadi platform bagi alumni haji terus bersama TH selepas menunaikan ibadah haji.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, penglibatan alumni haji dalam program anjuran TH mencerminkan usaha berterusan untuk memperkukuh hubungan TH dengan jemaah haji untuk bersama menyumbang kepada masyarakat.