PETALING JAYA – Tindakan seorang lelaki berbaju merah menegur individu yang didakwa merakam seorang wanita secara senyap-senyap di dalam tren Transit Aliran Deras (MRT) Laluan Putrajaya mengundang pujian netizen.
Kejadian itu dikongsikan seorang pengguna Threads @__aliasya, yang mendakwa lelaki berbaju hitam berkenaan merakam wanita di hadapannya tanpa pengetahuan mangsa.
Menurutnya, lelaki berbaju merah menyedari perbuatan tersebut melalui pantulan cermin sebelum menegur individu terbabit.
Bagaimanapun, lelaki berbaju hitam itu didakwa tidak mengakui perbuatannya dan enggan keluar dari tren walaupun tindakan lanjut termasuk membuat laporan polis mahu dilakukan.









