KUALA TERENGGANU – Seorang pembantu tadbir Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) menghadapi 15 pertuduhan menggunakan dokumen sebut harga palsu bernilai lebih RM14,000 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Tertuduh, Mohamad Afif Md. Noor, 37, membuat pengakuan tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustapha.

Berdasarkan pertuduhan, dokumen berkenaan melibatkan permohonan penyediaan makan tengah hari, minum petang dan pembekalan kelengkapan mesyuarat serta kerja penyelenggaraan di Pejabat Risda Kemaman antara Disember 2020 hingga Januari 2023.