Kuala Terengganu: Seorang pembantu tadbir Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 15 pertuduhan menggunakan dokumen sebut harga palsu bernilai lebih RM14,000 antara tahun 2020 hingga 2023.

Tertuduh, Mohamad Afif Md Noor, 37, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara serentak di hadapan Hakim Azman Mustapha.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa secara tidak jujur mengemukakan sebagai tulen dokumen sebut harga bagi permohonan pembekalan makanan dan minuman serta peralatan mesyuarat, selain kerja penyelenggaraan bangunan.

Dokumen berkenaan meliputi permohonan penyediaan makan tengah hari, minum petang dan pembekalan kelengkapan mesyuarat serta kerja penyelenggaraan di Pejabat RISDA Kemaman.