Kuala Lumpur: Polis percaya berjaya menumpaskan tiga sindiket pengedaran dadah kecil-kecilan didalangi kumpulan kongsi gelap dalam operasi bermula Rabu hingga pagi tadi di sekitar Flat San Peng di sini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata dalam operasi berkenaan sebanyak 143 individu ditahan hasil 91 serbuan yang dilaksanakan.
"Operasi dilakukan hasil risikan dan pemantauan berterusan yang mengenal pasti Flat San Peng sebagai antara lokasi tumpuan aktiviti penagihan serta pengedaran dadah didalangi kongsi gelap 08," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata operasi disertai 36 pegawai kanan polis dan 210 anggota itu bertujuan membanteras pengedar dadah berskala kecil yang aktif di kawasan itu sehingga menimbulkan kebimbangan penduduk setempat.








