PETALING JAYA: Dua lelaki melarikan diri selepas kenderaan dinaiki mereka melanggar sebuah kereta ketika cuba melepaskan diri daripada pemeriksaan polis di Jalan Sultan Salahuddin, Kuala Lumpur, semalam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Ahmad Azwan Amin Nordin berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 6.30 petang ketika sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi sedang menjalankan Op Tapis Khas.
Katanya, anggota polis ketika itu mengesan sebuah Honda Accord berwarna hitam dalam keadaan mencurigakan sebelum menghampiri kenderaan berkenaan untuk menjalankan pemeriksaan.
“Ketika pihak polis menghampiri kenderaan tersebut bagi tujuan pemeriksaan, kenderaan itu dipandu secara melulu dan melanggar sebuah Honda City berwarna biru untuk meloloskan diri daripada pemeriksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.









