DOHA: Rangkaian 5G kedua negara mencapai liputan 90 peratus pada Oktober lalu, sembilan bulan lebih awal daripada jadual.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pencapaian itu menandakan kemajuan ketara dalam peralihan Malaysia ke arah model dwirangkaian 5G yang bertujuan meningkatkan persaingan, menggalakkan pelaburan dan menambah baik kualiti perkhidmatan telekomunikasi.
Katanya, Malaysia turut melaksanakan pelaburan besar bagi memperluas dan memperkukuh infrastruktur digital negara menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) sejak 2020.
“Setakat Julai 2026, kira-kira 10.12 juta premis telah diliputi rangkaian gentian optik, sekali gus meningkatkan akses kepada perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi dengan ketara,” katanya pada sesi panel peringkat menteri Forum Kepimpinan Digital sempena Mobile World Congress (MWC) Doha 2026 di sini, hari ini.









