KUALA LUMPUR: Banjir kilat bukan sekadar menyebabkan kerosakan jalan raya, jambatan dan kediaman, sebaliknya berpotensi mencetuskan gangguan ekonomi lebih luas apabila laluan pengangkutan utama terputus, sekali gus menjejaskan penghantaran barangan keperluan, meningkatkan kos operasi perniagaan dan memberi tekanan kepada harga barang.
Kesannya boleh merebak jauh melangkaui kawasan yang dilanda banjir apabila laluan yang terputus menghubungkan kawasan pengeluaran, gudang penyimpanan dan pasar borong.
Keadaan itu menyebabkan penghantaran bekalan makanan segar seperti sayur-sayuran, ikan dan ayam berdepan kelewatan, terutama apabila pembekal terpaksa menggunakan laluan lencongan.
Perunding Kanan Global Asia Consulting, Samirul Ariff Othman, berkata gangguan beberapa jam lazimnya masih boleh ditampung menggunakan stok sedia ada atau melalui penjadualan semula penghantaran, namun keadaan berbeza sekiranya laluan utama terputus selama beberapa hari atau kawasan tanaman turut mengalami kerosakan.









