ISTANBUL: Malaysia mencadangkan supaya Pertubuhan Zakat Antarabangsa (IZO) dihidupkan semula bagi menyelaras kutipan dan pengagihan zakat pada peringkat global, khususnya bagi membantu negara Islam yang lebih miskin serta masyarakat Islam yang menjadi golongan minoriti.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata beliau sudah mengemukakan cadangan itu kepada Presiden Türkiye, Recep Tayyip Erdogan, Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Ekonomi Lapan Negara Membangun (D-8), Sohail Mahmood dan beberapa pemimpin lain.
Beliau berharap cadangan itu dapat dibentangkan pada mesyuarat rasmi dan tidak rasmi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) serta D-8.
Cadangan berkenaan pada asalnya dicetuskan ahli perniagaan Arab Saudi, Allahyarham Sheikh Saleh Kamel ketika pentadbiran Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi.










