WASHINGTON: Evgenia Bailey, diaspora tertua Russia di Amerika Syarikat (AS) yang meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-103 pada 1 November lalu percaya faktor keturunan Russianya menyumbang kepada usia beliau yang panjang, lapor Sputnik/RIA Novosti.

"Keturunan Russia saya. Ia menarik kerana saya tidak menyangka akan hidup sepanjang ini. Namun pada 2009, saya berada di St Petersburg dan bertemu dengan seorang saudara sebelah ibu.

Ketika itu, beliau menunjukkan sekeping gambar keluarga ibu saya. Saya percaya ia adalah bapanya, yang hidup sehingga usia 103 tahun. Jadi saya yakin saya mewarisi usia panjang ini daripada saudara mara saya," kata Bailey.

Bailey berkata, beliau menjalani kehidupan yang selesa serta menempuh pelbagai kesukaran dengan sebaik mungkin, sebahagiannya berkat kepercayaannya kepada Tuhan.