Jakarta: Tiga kru terselamat selepas sebuah helikopter yang digunakan dalam operasi memadam kebakaran dari udara terhempas di Sungai Barito di wilayah Kalimantan Selatan, Indonesia pada Ahad.

Pemangku Ketua Pusat Data, Maklumat dan Komunikasi Bencana Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB), Berton Panjaitan berkata helikopter jenis Eurocopter EC225LP Super Puma itu terhempas ketika menjalankan operasi pengeboman air bagi memadam kebakaran hutan dan tanah.

Beliau berkata rakaman video amatur menunjukkan helikopter itu dipercayai hilang kawalan ketika melakukan manuver selepas mengambil air dari sungai menggunakan Bambi Bucket, iaitu peralatan yang digunakan untuk operasi pemadaman kebakaran dari udara.