JAKARTA – Sebuah helikopter yang sedang mengambil air bagi menjalankan misi memadam kebakaran hutan dilaporkan terhempas hari ini ke dalam Sungai Barito, wilayah Kalimantan Selatan.

Seorang krew warga Indonesia dilaporkan masih hilang, manakala dua lagi anak kapal warga Australia berjaya diselamatkan.

Jurucakap Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB), Berton Panjaitan, mengesahkan kedua-dua warga Australia terbabit berada dalam keadaan selamat, manakala operasi mencari dan menyelamat (SAR) untuk mengesan krew tempatan giat dijalankan.

Kejadian ini merupakan nahas udara kedua membabitkan operasi memadam kebakaran di kepulauan Borneo dalam tempoh seminggu, selepas sebuah helikopter tentera terhempas di perairan luar Borneo pada Rabu lalu sehingga meragut tiga nyawa.