New York: Seorang maut manakala dua lagi cedera selepas sebuah helikopter terhempas di perairan Teluk Biscayne berhampiran Miami, Florida, Amerika Syarikat (AS) pada pagi Rabu, menurut pihak berkuasa, lapor Xinhua.

Pengawal Pantai AS memaklumkan bahawa helikopter yang membawa tiga individu itu terhempas di timur Lapangan Terbang Miami Executive.

Susulan kejadian itu, anggota kecemasan daripada Pengawal Pantai AS, Jabatan Bomba dan Penyelamat Miami-Dade serta agensi tempatan lain dikerahkan ke lokasi nahas.

Menurut Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB), maklumat awal menunjukkan helikopter jenis Robinson R44 II itu dipercayai sedang menjalankan penerbangan bagi tujuan fotografi ketika nahas berlaku.