Kuala Lumpur: Beregu campuran profesional negara, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing meneruskan rentak cemerlang apabila mengesahkan kemaraan ke suku akhir Terbuka Korea.

Pasangan negara itu tidak berdepan masalah mengetepikan cabaran beregu Korea Selatan, Jin Sung Ik-Lee Seung Hee yang menghuni ranking ke-154 dunia menerusi kemenangan 21-8, 21-15 pada pusingan kedua hari ini di Stadium Jinnam, Yeosu.

Kemenangan itu menyaksikan Pang Ron-Pei Jing terus menghidupkan peluang untuk melakar penampilan separuh akhir buat kali keempat berturut-turut dalam empat kejohanan terakhir.

Ia sekali gus membuktikan konsistensi pasangan ranking ke-15 dunia itu yang terus mempamerkan aksi meyakinkan meskipun mengharungi jadual pertandingan padat sejak beberapa minggu lalu.