Kuala Lumpur: Hari ini genap 49 hari selepas barisan kepimpinan baharu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dibentuk pada 17 September lalu, gandingan Presiden, Datuk Ab Ghani Hassan bersama Presiden Kehormat, Tan Sri Hamidin Mohd Amin dilihat menjadi antara kekuatan utama dalam menggerakkan semula badan induk itu.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman menyifatkan kombinasi kedua-dua pemimpin itu sebagai gandingan yang baik, apatah lagi disokong barisan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) yang memiliki pengalaman luas serta komitmen tinggi dalam bidang masing-masing.
Menurutnya, beliau berpuas hati dengan kesungguhan yang ditunjukkan setiap anggota EXCO yang tidak mengambil mudah tanggungjawab diberikan, sebaliknya mula menggerakkan portfolio masing-masing demi kepentingan bola sepak negara.









