GEORGE TOWN – Seorang akauntan berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan selepas didakwa melakukan perbuatan bertentangan aturan tabii terhadap seorang wanita tanpa kerelaannya tahun lalu.Bagaimanapun, tertuduh, Then Zi Quan, 34, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Irwan Suainbon di Mahkamah Sesyen 2 pada Khamis.Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap mangsa berusia 25 tahun di sebuah unit kediaman di Ideal Residency, Jalan Lembah, Kampung Kastam kira-kira jam 4.15 petang pada 24 Ogos 2025.Dia didakwa memasukkan jari ke dalam kemaluan wanita berkenaan tanpa persetujuannya.Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya M Darrshini, manakala tertuduh diwakili peguam K Mahendran bersama M Sharmila.Dalam prosiding itu, pihak pendakwaan memohon jaminan sebanyak RM30,000 selain syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa atau saksi pendakwaan serta melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan.Bagaimanapun, pihak pembelaan memohon jumlah jaminan dikurangkan.Mahendran dalam rayuannya berkata, anak guamnya yang masih bujang bekerja sebagai akauntan dengan pendapatan bulanan kira-kira RM2,000 selain menanggung kedua-dua ibu bapanya.Beliau turut memaklumkan bahawa tertuduh pernah diberikan jaminan polis pada Ogos tahun lalu dan sentiasa memberikan kerjasama sepanjang siasatan dijalankan.Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Irwan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin serta mematuhi syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan.Mahkamah kemudian menetapkan 14 Disember depan untuk serahan dokumen kes.