FLORIDA – Sekurang-kurangnya sembilan individu maut selepas sebuah jet peribadi bernilai AS$2 juta (RM8.1 juta) terhempas semalam, di kawasan taman rumah bergerak di Florida Selatan, Amerika Syarikat, lapor saluran berita New York Post.

Ketika kejadian, jet jenis Learjet 60 yang membawa sembilan mangsa itu dilaporkan dalam penerbangan dari Austin, Texas menuju ke Lapangan Terbang North Eleuthera di Bahamas.

Menurut Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), pesawat berkenaan terhempas dalam letupan bebola api gergasi sejurus melanggar kawasan kediaman tersebut.

Portal BocaNewsNow melaporkan, pesawat yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Austin-Bergstrom itu dikesan membelok tajam ke kanan sebelum menjunam laju dari altitud kira-kira 2,400 meter.