WASHINGTON: Sembilan orang terbunuh apabila pesawat Learjet yang mereka naiki terhempas di kawasan kejiranan di selatan Florida pada Ahad, hanya beberapa kilometer dari kediaman percutian Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump di Mar-a-Lago, menurut pegawai.
Beberapa rakaman video yang belum disahkan dan dimuat naik ke media sosial menunjukkan pesawat itu menjunam hampir menegak pada kelajuan tinggi sebelum menghempas bumi dan mencetuskan letupan api besar, meninggalkan kawah terbakar berhampiran jalan raya yang sibuk.
“Insiden nahas pesawat di daerah Palm Beach, Florida hari ini merupakan satu tragedi yang amat dahsyat,” kata Setiausaha Pengangkutan, Sean Duffy dalam satu kenyataan dan mengesahkan kesemua sembilan penumpang dan kru di dalam pesawat itu terbunuh.









