Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) masih menjadi perhatian syarikat korporat apabila badan induk itu mengesahkan menerima banyak permohonan daripada pihak luar yang berminat untuk membantu membangunkan semula bola sepak negara.

Perkembangan itu sekali gus membuktikan FAM tidak kehilangan daya tarikan meskipun berdepan pelbagai kontroversi sejak kebelakangan ini, khususnya isu membabitkan tujuh pemain warisan serta hasil audit dalaman Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang mendedahkan beberapa kelemahan dalam aspek tadbir urus badan induk berkenaan.

Presiden FAM, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, pihaknya menerima banyak permohonan daripada individu dan syarikat yang mahu menyumbang kepakaran serta tenaga bagi membantu usaha mengembalikan kegemilangan bola sepak negara.