Melaka: Polis telah mengeluarkan 29 permit ceramah setakat ini bagi kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bermula Sabtu lepas, dengan tiada sebarang laporan berkaitan kacau ganggu diterima.
Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata daripada jumlah itu, Melaka Tengah merekodkan permit tertinggi iaitu 11, diikuti Alor Gajah (10) dan Jasin (lapan).
Bagaimanapun, katanya polis menerima satu laporan berkaitan perbuatan khianat terhadap bahan kempen.
"Untuk itu saya ingin mengingatkan semua calon, parti politik dan penyokong supaya sentiasa mematuhi undang-undang serta mengelakkan sebarang tindakan provokasi yang boleh menjejaskan ketenteraman awam sepanjang tempoh berkempen," katanya kepada Bernama.









