MELAKA: Polis telah mengeluarkan 29 permit ceramah untuk kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bermula Sabtu lalu, dengan tiada sebarang laporan berkaitan kacau ganggu diterima, setakat ini.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, berkata Melaka Tengah merekodkan jumlah tertinggi membabitkan 11 permit, diikuti Alor Gajah (10) dan Jasin (lapan).

Bagaimanapun, beliau berkata, polis menerima satu laporan berkaitan perbuatan khianat terhadap bahan kempen.

"Oleh itu, saya ingin mengingatkan semua calon, parti politik serta penyokong supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan mengelak sebarang tindakan provokasi yang boleh menjejaskan ketenteraman awam sepanjang tempoh berkempen," katanya kepada Bernama.