KUALA LUMPUR: Institusi asing kembali melakukan pembelian bersih di Bursa Malaysia, mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak AS$323.1 juta, menurut MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB).

Dalam laporan aliran dana mingguannya pada minggu berakhir 30 Oktober, MBSB IB memaklumkan institusi asing merupakan pembeli bersih pada empat daripada lima hari dagangan pada minggu itu, dengan aliran masuk tertinggi dicatatkan pada Rabu sebanyak RM117.4 juta, diikuti Selasa (RM117.2 juta), Jumaat (RM68.6 juta) dan Khamis (RM32.3 juta).

Menurutnya, satu-satunya aliran keluar bersih dicatatkan pada Isnin sebanyak RM17.3 juta.

Bank pelaburan itu memaklumkan, tiga sektor dengan aliran masuk bersih tertinggi ialah perkhidmatan kewangan sebanyak RM437.1 juta, pengangkutan dan logistik (RM169.5 juta) serta pembinaan (RM73.4 juta).