Seramai 101 peserta daripada 12 pasukan telah menyertai Program CommFest: Nukilan Lentera anjuran mahasiswa semester tujuh dan lapan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Komunikasi Korporat), Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) di Auditorium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Selangor baru-baru ini.

Pertandingan itu diadakan bagi memenuhi keperluan kursus Projek Akhir Komunikasi di bawah Fakulti Pendidikan, Sains Sosial dan Kemanusian (FESSH) yang melibatkan seramai 36 mahasiswa.

Pengarah program berkenaan, Dayana Safiyya berkata, CommFest: Nukilan Lentera yang bertemakan ‘Dari Lensa, Demi Malaysia’ itu merupakan pertandingan filem pendek yang menggabungkan elemen komunikasi, kreativiti dan semangat patriotisme melalui medium penceritaan visual.