BATU PAHAT – Dua beradik yang terselamat dalam nahas melibatkan Perodua Alza dihempap lori membawa muatan tar di Jalan Yong Peng-Muar, berhampiran Parit Yaani di sini semalam diberi kesempatan menatap wajah ibu bapa mereka buat kali terakhir.
Lebih meruntun jiwa, kedua-dua kanak-kanak itu terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada insan yang selama ini menjadi tempat mereka bermanja selepas ibu bapa mereka maut dalam nahas tengah hari tadi.
Muhammad Adam, 8, dan kakaknya, Hasya Fahira Zulkifli, 11, dibawa turun dari wad menggunakan kerusi roda sebelum dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Nora Ismail dengan dibantu dua jururawat.
Kedua-duanya yang turut mengalami kecederaan dalam kejadian itu kelihatan tidak dapat menahan kesedihan ketika dibawa menghampiri jenazah ibu bapa mereka, Mohd Hardi Mohd Husin, 46, dan isterinya, Tengku Syafirana Tengku Abdullah, 44.









