SHAH ALAM: Kerajaan negeri akan meningkatkan pemantauan ke atas semua pusat penyembelihan ayam bagi memastikan pematuhan terhadap piawaian sijil halal bagi mengatasi keraguan pengguna terhadap bekalan sumber protein tersebut.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, langkah tersebut perlu dilakukan bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan agensi peguat kuasa lain terhadap pematuhan tersebut.
“Pihak pengeluar sijil (Jakim) dan pihak berkuasa perlu bekerjasama untuk buat pemantauan berkala ke atas pusat itu supaya mereka mematuhi piawaian yang ditetapkan kedua-dua agensi itu.
“(Bagaimanapun), saya juga meminta orang ramai supaya membuat aduan sekiranya mengesyaki ada pusat penyembelihan menjalankan operasi tidak mengikut piawaian halal,” katanya selepas program pemberian makanan nutrisi Nutrisi Selangor (Nutrisel) di sini, hari ini.








