KUALA LUMPUR: Pengguna Islam digesa mengambil tanggungjawab sendiri dalam memastikan ayam dibeli disembelih mengikut syariat Islam, bukannya menyerahkan perkara itu bulat-bulat kepada pusat penyembelihan.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata ini kerana ia kewajipan sebagai orang Islam bagi memastikan keterjaminan status halal ayam yang dibeli untuk dimakan.

"Pensijilan halal tidak semestinya diwajibkan kepada semua pusat penyembelihan ayam kerana terdapat pengusaha membekalkan ayam khusus kepada pengguna bukan Islam yang mungkin tidak memerlukan pensijilan berkenaan.

"Sebab itu pengguna Islam perlu cakna, mencari dan membeli ayam dari pusat penyembelihan ayam yang diyakini mengikut syariat Islam," katanya ketika dihubungi hari ini.