Batu Pahat: Tayar pecah dipercayai menjadi punca sebuah lori membawa muatan tar terbabas sebelum menghempap kenderaan pelbagai guna (MPV), mengakibatkan pasangan suami isteri maut dalam nahas di Kilometer 8.5, Jalan Yong Peng-Muar, dekat Parit Yaani, tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kemalangan dipercayai berlaku jam 12.30 tengah hari ketika MPV terbabit dalam perjalanan dari arah Yong Peng menghala ke Parit Sulong.
Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, lori dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan selepas tayarnya pecah sebelum terbabas dan menghempap MPV berkenaan.
"Akibat kejadian itu, pemandu MPV, Mohd Hardi Mohd Husin, 46, dan isterinya, Tengku Syafirana Tengku Abdullah, 44, mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.








