PETALING JAYA – Seorang kanak-kanak terjatuh dari sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dalam kejadian di satu simpang berdekatan sebuah institut kemahiran di Sungai Petani, Kedah.

Kejadian itu dirakam menerusi kamera papan pemuka atau dashcam yang menunjukkan ia berlaku pada pukul 8.08 pagi tadi dan rakaman itu dimuat naik seorang pengguna Threads Najian_shbudin.

Berdasarkan video tersebut, pemilik dashcam itu berada di belakang SUV berkenaan dan sebaik tiba di satu simpang dan belok ke kiri, pintu SUV itu terbuka dan seorang kanak-kanak terjatuh di atas jalan.

Kanak-kanak tersebut bangun, manakala seorang lelaki dipercayai bapanya yang berada di tempat pemandu segera keluar dan mengambilnya masuk ke dalam kenderaan itu.