KUALA LUMPUR: Ketegangan geopolitik dan konflik serantau berlarutan meningkatkan risiko gangguan bekalan makanan serta tenaga dunia, sekali gus menjadikan persediaan menyimpan barangan asas semakin penting menghadapi kemungkinan krisis global.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Amer Fawwaz Mohamad Yasid, berkata konflik Russia-Ukraine sejak 2022 serta ketegangan di Asia Barat membabitkan Iran, Amerika Syarikat (AS) dan Israel antara mencetuskan kebimbangan terhadap kestabilan global.

Katanya, beberapa negara, terutama berhampiran kawasan konflik, mengambil pendekatan menggalakkan rakyat menyimpan bekalan makanan, ubat-ubatan dan keperluan asas bagi menghadapi kemungkinan keadaan lebih serius, termasuk tercetus peperangan boleh menjejaskan bekalan domestik.