KUALA LUMPUR: Malaysia terus menyaksikan perkembangan landskap perniagaan apabila jumlah pertubuhan aktif meningkat kepada 1.33 juta pada 2025, naik 241,300 berbanding banci terdahulu, sekali gus menggambarkan pertambahan aktiviti keusahawanan merentasi pelbagai sektor ekonomi.

Jumlah itu meningkat 22.1 peratus berbanding 1.09 juta pertubuhan yang direkodkan menerusi Banci Ekonomi 2023, berdasarkan penemuan awal Banci Ekonomi 2026 (BE2026) yang dilaksanakan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Banci yang bermula pada 5 Januari lalu meliputi lima sektor utama ekonomi, iaitu pertanian, perlombongan dan pengkuarian, pembuatan, pembinaan serta perkhidmatan.

DOSM berkata, dari segi taburan mengikut sektor, perkhidmatan mendominasi dengan 1.17 juta pertubuhan (87.5 peratus), diikuti pembinaan sebanyak 86,200 pertubuhan (6.5 peratus), pembuatan 61,000 pertubuhan (4.6 peratus), pertanian 18,300 pertubuhan (1.4 peratus) serta perlombongan dan pengkuarian 1,100 pertubuhan (0.1 peratus).