KUALA LUMPUR: Pasaran modal Malaysia berkembang kepada RM4.5 trilion daripada RM4.3 trilion tahun lalu, meskipun melalui tempoh ketidaktentuan pasaran yang ketara.

Pengarah Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Shahrul Amry Abd Malek, berkata keupayaan ekonomi menghadapi cabaran bergantung pada kekuatan pasaran modal, manakala Malaysia kekal sebagai pasaran sukuk terbesar di dunia.

"Di bawah Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030, kami berhasrat menjadikan Malaysia sebagai hab serantau bagi syarikat mendapatkan modal dan pelabur memilih untuk bertapak," katanya pada Sidang Kemuncak Pejabat Keluarga Malaysia.

Sidang kemuncak bertemakan 'Malaysia: Hab yang Semakin Berkembang bagi Modal Swasta' itu dianjurkan SC.