PETALING JAYA: Hujan lebat yang melanda sekitar Lembah Klang petang ini menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air sehingga berlaku banjir kilat di beberapa kawasan.

Tinjauan menerusi media sosial mendapati pengguna jalan raya berkongsi rakaman dan gambar keadaan air yang semakin tinggi antaranya di Denai Alam, Taman Tun Dr. Ismail (TTDI), Bukit Jalil, USJ serta Lebuh Raya Persekutuan berhampiran Amcorp Mall, Petaling Jaya.

Beberapa rakaman turut menunjukkan kenderaan terpaksa meredah air manakala keadaan hujan lebat menyebabkan jarak penglihatan pemandu terhad.

Di Denai Alam, pengguna Threads @iskandarsukandar berkata beberapa pengguna jalan raya terpaksa berpatah balik berikutan keadaan laluan di kawasan itu.