KUALA LUMPUR: Kualiti udara dijangka terus bertambah baik susulan keadaan semakin lembap serta hujan yang lebih kerap di beberapa kawasan, selain penurunan tahap amaran jerebu serantau oleh Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC).

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Alam Sekitar (JAS), Azuri Azizah Saedon, berkata meskipun titik panas kebakaran masih dikesan di beberapa kawasan rantau Asia Tenggara, perubahan corak tiupan angin susulan peralihan monsun dan kemasukan Monsun Timur Laut dijangka membantu mengurangkan asap jerebu rentas sempadan ke Malaysia.

Beliau berkata, tiupan angin yang lazimnya bergerak dari arah timur laut ke barat daya berpotensi mengurangkan kemasukan asap dari kawasan Sumatera ke Semenanjung Malaysia.