KOTA BHARU: Pemandu lori mendakwa menerima upah RM900 bagi setiap perjalanan menghantar beras putih yang disyaki diseludup dari negara jiran untuk dihantar ke Rawang, Selangor.

Lelaki berusia 27 tahun itu ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas lori dipandunya membawa muatan 8,000 kilogram (kg) beras putih ditahan dalam Op Taring Wawasan Kelantan, pada 1 pagi tadi.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain, berkata operasi dijalankan Batalion 7 PGA dengan bantuan Pihak Kawal Selia Padi dan Beras Kelantan di Lebuhraya Timur-Barat, dari arah Panglima Bayu menghala Tanah Merah.

Beliau berkata, operasi itu membawa kepada rampasan 8,000kg beras putih bernilai RM32,000, manakala lori yang digunakan dianggarkan bernilai RM150,000, menjadikan nilai keseluruhan rampasan RM182,000.