Kuala Lumpur : Penyanyi remaja dari Indonesia, Farel Prayoga, 16, berkongsi kegembiraannya yang sudah berjaya membeli sekali gus memiliki kereta mewah jenama BMW sebagaimana diimpikan.
Farel berkata rezeki kereta mewah itu diperoleh hasil kerja kerasnya dalam karier nyanyian dengan memenuhi pelbagai tawaran persembahan sejak aktif hampir empat tahun lalu bermula 2022.
"Alhamdulillah, rezeki menyanyi saya lancar dan dipermudahkan Allah. Hasil daripada itu, saya sudah dapat membeli kereta impian, BMW. Bagaimanapun, masih tidak boleh dipandu jauh kerana tiada lesen.
"Setakat ini, saya hanya melepaskan keinginan memandu dalam kawasan rumah sahaja. Jika di luar, pengurus saya yang memandu. Tetapi, apa-apa pun syukur Alhamdulillah, ia antara pencapaian peribadi saya," katanya kepada Harian Metro.









