GUA MUSANG – Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan sebuah lori dan merampas 25 tan metrik beras putih jenis Super Import yang disyaki diseludup dari Thailand menerusi Op Taring Wawasan di Paloh di sini pada malam Rabu.Rampasan jam 11 malam itu membabitkan nilai keseluruhan rampasan termasuk lori dianggarkan berjumlah RM550,000.Komander Briged Tenggara, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, semasa melakukan pemantauan anggota bertugas telah mengesan sebuah lori di sekitar Kampung Pangkal Senor, Jalan Lebuh raya Kota Bharu-Gua Musang yang berada dalam keadaan mencurigakan.Menurut beliau, lori tersebut telah ditahan oleh anggota PGA di tepi Jalan Bentong-Kota Bharu, di hadapan sebuah bangunan bagi tujuan pemeriksaan."Pemeriksaan mendapati lori berkenaan membawa muatan beras putih jenis Super Import yang disyaki diseludup dari Thailand."Pemandu lori mengemukakan dua salinan invois bagi menerangkan sumber dan tujuan penghantaran beras itu, namun terdapat keraguan terhadap maklumat lokasi penghantaran yang tercatat pada dokumen berkenaan," katanya kepada pemberita pada Khamis.Jelas beliau, keraguan itu membawa kepada penahanan pemandu berusia 38 tahun untuk membantu siasatan lanjut.Ujarnya, lori dan keseluruhan muatan beras serta dua salinan invois terbabit turut dirampas sebelum diserahkan kepada Kawal Selia Padi dan Beras Negara (KPB) Negeri Kelantan untuk tindakan selanjutnya."Semakan awal mendapati lokasi penghantaran yang dinyatakan dalam invois berkenaan tidak tepat, sekali gus menimbulkan syak bahawa dokumen itu digunakan untuk mengelirukan pihak berkuasa mengenai sumber dan tujuan sebenar penghantaran."Bagaimanapun ketulenan dokumen berkenaan masih dalam siasatan," katanya.Ahmad Radzi memberitahu, siasatan akan diperluaskan bagi mengenal pasti sumber bekalan, pihak yang menyediakan dan menggunakan invois terbabit, pengangkut, penerima serta rangkaian pengedaran beras yang disyaki diseludup itu.Kata beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras 1994.